IBU MITHALI DALAM DUNIA HAIWAN

Dubuk bintik merupakan salah satu pemangsa yang paling ditakuti di Afrika. Mereka bekerjasama untuk memburu kuda belang, seladang, dan gazel dengan kekuatan gigitan yang mampu menghancurkan tulang setebal dua setengah inci. Dubuk betina lebih besar, lebih kuat, dan lebih agresif daripada yang jantan. Pelik kan? Tetapi kemampuan sebegitu diperlukan dubuk betina untuk menjadi ibu yang hebat kepada anak-anak dubuk.

 

DARJAH TERHORMAT

Setiap dubuk bintik dalam satu klan mempunyai tingkatan sosial yang tersendiri dan unik. Dubuk yang berpangkat lebih tinggi biasanya makan lebih awal berbanding dubuk lain. Dubuk betina pula bersifat lembut dengan anak-anak mereka dan menjaga mereka lebih lama daripada mana-mana pemangsa yang lain, menjadikan mereka ‘ibu yang hebat’.

Tugas utama ibu dubuk : menjaga anak-anak dengan selamat dan memberi mereka makan sehingga mereka membesar menjadi dewasa. Dan ia adalah tugas sepenuh masa. ‘Ikatan kekeluargaan’ itu pula tidak berakhir apabila anak-anak ini sudah dewasa. Ibu dubuk dengan anaknya yang betina akan jadi kawan baik seumur hidup. 

KASIH IBU DAN ANAK

Secara fitrahnya, hanya betina sahaja yang membesarkan anak-anak manakala dubuk jantan tidak terlibat langsung dalam proses penjagaan anak. Bahkan, sebelum melahirkan, dubuk yang bunting sudah bersiap sedia untuk menyambut kelahiran.Dubuk bunting akan mencari sarang bawah tanah untuk melahirkan bagi melindungi anak-anak yang baru lahir daripada diganggu atau diserang dubuk lain. Setelah melahirkan anak, ibu dubuk akan menyerang mana-mana haiwan yang  datang dekat, tapi dia tidak melindungi anak-anaknya daripada satu sama lain. 

 

BERGOMOL SELEPAS DILAHIRKAN

Uniknya, anak-anak dubuk yang baru lahir sudah boleh membuka mata dan mempunyai gigi susu depan. Anak-anak dubuk ini segera mula bergomol antara mereka, dan yang menang akan dapat lebih banyak makanan daripada ibu dubuk jika makanan terhad. Tetapi kehidupan keluarga dubuk ini bukan hanya bergomol sepanjang masa. Sang ibu menghabiskan berjam-jam setiap hari memerhatikan anak-anak mereka bermain. Waktu bermain membantu anak-anak dubuk ini mengembangkan otot mereka dan juga mewujudkan ‘ikatan mesra’ antara adik beradik dubuk.

 

DUBUK MASUK TADIKA

Apabila dubuk-dubuk kecil ini mencapai usia sekurang-kurangnya sebulan, mereka ‘dimasukkan’ ke ‘tadika dubuk’ iaitu sebuah sarang yang lebih besar dan dikongsi. Biasanya sarang itu merupakan sarang lama tenggiling atau rubah. Di situ, semua dubuk kecil dalam satu klan, yang terdiri daripada beberapa keluarga dubuk, boleh bermain bersama-sama. Apa permainan mereka? Antaranya bergolek dalam najis gajah, bergomol di rumput, dan berlatih menyerang satu sama lain. Ibu-ibu dubuk bekerjasama untuk melindungi anak-anak yang leka bermain daripada musuh terbesar mereka iaitu singa. Singa dan dubuk bermusuh kerana 2 jenis haiwan ini memburu mangsa yang sama, dan singa selalunya menyerang anak-anak dubuk untuk mendominasi makanan. Singa akan membunuh mana-mana anak dubuk yang mereka tangkap dengan menendang mereka dengan kaki. Tetapi singa juga perlu berhati-hati. Ibu-ibu dubuk akan membentuk kumpulan untuk menghalau mana-mana singa yang mendekati sarang mereka.

JAGA SAMPAI BESAR

Pengkaji dubuk berpendapat bahawa ibu dubuk bintik menjaga anak-anak mereka untuk masa yang lama kerana rahang dan tengkorak anak dubuk mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang sepenuhnya. Sepanjang tempoh itu berlaku, anak-anak dubuk tidak mampu untuk berburu sendiri. Mereka tidak dapat menggigit makanan jadi anak-anak dubuk hanya minum susu ibu sehingga 20 bulan. Lebih enam bulan yang diperlukan anak singa. Apabila gigi anak dubuk mencapai tahap matang dan kuat barulah mereka akan menjamu selera dengan daging. Anak-anak dubuk akan belajar untuk menggigit dengan kekuatan yang cukup bagi mengekstrak nutrien dari tulang, kuku, dan kulit mangsa buruan. Tabiat itu tidak ada pada haiwan pemangsa lain.

 

SELAMAT TINGGAL, IBU

Selepas sekurang-kurangnya tiga tahun, anak-anak dubuk mampu melindungi diri mereka sendiri dan memburu mangsa. Dubuk-dubuk jantan akan pergi mencari kumpulan dubuk baru. Tetapi yang betina akan tinggal bersama ibu mereka. Ibu-ibu dubuk dalam satu klan, bersama dubuk betina yang lain serta anak-anak dubuk yang betina, menghabiskan sebahagian besar masa mereka bersama-sama. Kebersamaan ini membuatkan dubuk mampu bertahan dalam ekosistem, mencari makanan sebagai satu pasukan dan melindungi keluarga daripada dubuk pesaing yang lain. Ibu-ibu dubuk yang hebat ini membantu anak-anak mereka membesar menjadi dubuk yang kuat dan mahir. Anak-anak betina ini pula akan melindungi ibu mereka sebagai balasan.

UBAH PERSEPSI TENTANG DUBUK

Tidak dapat dinafikan bahawa dubuk tidaklah secomel kucing. Wajah dubuk yang tampak seperti ‘jahat’ itu membuatkan ia tidaklah menjadi haiwan yang sering diperbincang manusia. Ramai orang berpendapat bahawa dubuk adalah haiwan yang kotor dan mengancam manusia. sedangkan, terdapat satu kajian yang mendapati bahawa dubuk membantu menyelamatkan nyawa manusia dengan memakan bangkai yang membawa penyakit. 

 

Mungkin filem boleh jadi satu medium berkesan untuk mengubah persepsi kita tentang dubuk kerana dengan filem ‘The Lion King’ juga lah yang mungkin membuatkan ramai orang menganggap dubuk adalah sejenis haiwan yang ‘jahat’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *