Reputasi ikan lumba-lumba sebagai haiwan mesra manusia tercalar. Sejak dari tahun 2022 sehingga tahun 2024, terdapat peningkatan kes haiwan marin menyerang manusia di sekitar kawasan pantai negara Jepun.
Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 18 kes serangan kepada pengunjung pantai bandar Mihama, Jepun terjadi menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak adalah 29 kes. Kes terbaru yang berlaku melibatkan seorang kanak-kanak yang terpaksa menerima sehingga 20 jahitan di jari. Pada tahun lepas pula, seorang pengunjung pantai telah patah tulang rusuk.
SUSPEK UTAMA
Berdasarkan pemerhatian melalui gambar dan rakaman video, insiden serangan itu didalangi oleh seekor ikan lumba-lumba jantan jenis bottlenose Indo-pasifik, yang panjang mencecah 2.5 meter. Ia dapat dicam melalui tanda di sirip ikan tersebut.

Menurut Dr. Tadamachi Morisaka, seorang pengkaji ikan lumba-lumba di Universiti Mie, Jepun, ikan lumba-lumba jantan liar jenis bottlenose Indo-pasifik mempunyai tabiat ‘gigit-gigit manja’ apabila berinteraksi dengan manusia. Tabiat itu sebagai tanda ia telah membina kepercayaan dan hubungan dengan manusia. Kelakuan itu lebih kurang sama seperti kucing setelah jinak dengan manusia.
AWAL-AWAL LEMBUT, KEMUDIAN GANAS
Walaupun diketahui ikan ini kebiasaannya bersikap mesra dengan manusia, tetapi ia hanya terjadi pada awal interaksi. Sekiranya hubungan itu menjadi lebih mendalam, ia mampu mendatangkan bahaya. Ia boleh menjadi agresif seperti melibas dan memanjat ke atas badan manusia. Itulah yang berlaku pada insiden serangan tahun 2023 yang sepatutnya dibimbangkan. Bayangkan dengan panjang 2.5 meter, beratnya lebih kurang 200 kilogram, dan dengan kelajuan 30 kilometer sejam, rempuhan yang dibuat oleh ikan lumba-lumba adalah sama seperti kemalangan jalan raya.
Baca artikel lain :
SINGA LAUT : JURU KAMERA DASAR LAUT
FAKTA-FAKTA PELIK TENTANG PEMBIAKAN KUDA LAUT
Apa yang perlu diberi perhatian ialah, ikan yang terlibat dalam insiden serangan itu berkelakuan agak pelik. Ia seperti kesepian – berenang secara tunggal sedangkan ia patut berada dalam kumpulan. Itu tabiat semulajadinya. Lebih-lebih lagi ia sepatutnya mempunyai kawan rapat yang sama jantina untuk berenang dan bermain gigit-gigit manja bersama. Berkemungkinan ikan yang menyerang itu menganggap mangsa serangan itu seperti kawannya.
KEMBALI KEPADA SIKAP MANUSIA
Seorang lagi pengkaji, Dr Matthias Hoffman-Kuhnt dari National University, Singapura, berpendirian yang ikan itu hanya mempertahankan diri. Berdasarkan pengalamannya, ikan lumba-lumba bertukar menjadi agresif apabila ada manusia yang ingin berinteraksi dengan cara memanjat badan ikan dan menyumbat lubang nafas ikan itu dengan jari. Banyak laporan mendapati berlaku hal sebegitu terhadap ikan lumba-lumba. Maka tidak hairan sekiranya ikan itu bertindak agresif yang disalah anggap oleh manusia sebagai ‘serangan’.
Mamalia ini juga mempunyai memori yang kuat. Sama seperti gajah yang mampu ingat manusia yang melayannya dengan teruk. Berkemungkinan besar, ikan yang terlibat dalam insiden serangan itu mempunyai pengalaman buruk apabila berinteraksi dengan manusia. Maka, apabila berjumpa dengan manusia lain, ia akan bertindak agresif disebabkan memori pahit yang ia simpan.
PENCEGAHAN YANG KURANG BERKESAN
Pihak berwajib telah pun mengambil tindakan pencegahan bagi menghindarkan insiden yang sama berulang lagi. Beberapa alat akustik diletakkan di dalam laut yang akan mengeluarkan bunyi pelik kepada ikan lumba-lumba supaya ia menjauhi kawasan pantai. Tindakan ini ada satu kelemahan. Ikan jenis bottlenose mempunyai tabiat ingin tahu yang sangat tinggi. Ia mudah teruja untuk menyiasat bunyi yang dikeluarkan dan akan mendekati pantai bagi mencari sumber bunyi itu. Tambahan pula memang telah berlaku beberapa kes ikan itu tetap menghampiri pantai yang diletakkan alat akustik itu.
SUMBER :
- Nature.com
- BBC.com