MENGAPA ‘CROWN SHYNESS’ BERLAKU?

Antara satu fenomena menarik apabila kita berada di dalam hutan adalah tentang keadaan kanopi pokok yang nampak seperti ‘mengelak’ daripada bersentuhan antara satu sama lain. Fenomena ini dikenali sebagai fenomena ‘crown shyness’ dan ianya biasa dilihat berlaku antara pokok yang sama spesis dan juga boleh berlaku antara spesis pokok yang berbeza. 

Bermula dengan rakaman foto pertama kejadian unik ini pada era 1920-an, beberapa penyelidikan ilmiah dilakukan selepas itu bagi menjelaskan kejadian unik ini. Istilah ‘crown shyness’ kemudian muncul pada tahun 1955, diilhamkan oleh seorang ahli botani bernama Maxwell R. Jacobs setelah dia mengkaji pelbagai jenis populasi pokok eucalyptus. Istilah-istilah lain juga muncul selepas itu seperti canopy disengagement, canopy shyness dan inter-crown spacing.

SERANGGA PEROSAK TAK BOLEH LOMPAT KE POKOK LAIN

Salah satu teori mencadangkan fenomena ini berlaku sebagai satu mekanisma pertahanan pokok daripada serangga perosak. Dengan wujudnya jarak antara kanopi, risiko serangga perosak berpindah daripada satu pokok ke pokok yang ada di sekitarnya adalah rendah. 

MENGELAKKAN DARIPADA CEDERA

Satu lagi tekaan ahli botani yang mendapat disokong ramai adalah, ‘crown shyness’ berlaku sebagai satu mekanisma bagi mengelak kecederaan pokok. Dalam persekitaran berangin, dahan pokok selalu bertembung yang mendatangkan kerosakan kepada dahan dan daun. Kerosakan yang berulang ini membawa kepada tindakan pemangkasan semulajadi oleh pokok. Pokok akan mengehadkan pertumbuhan di kawasan yang boleh mendatangkan kecederaan disebabkan pertembungan dahan dan daun. Hal ini lah yang dikaji oleh Maxwell R. Jacobs pada tahun 1955. Selain itu, ada beberapa eksperimen yang menunjukkan apabila pokok-pokok dihalang untuk bertembung, kanopi pokok lebih mudah untuk mengisi ruang lain yang luas. Kelakuan ini jelas dilihat pada pokok-pokok di kawasan berangin, kumpulan pokok jenis fleksibel, dan di kawasan hutan sekunder peringkat awal yang dahan-dahan lebih cenderung tumbuh ke arah tepi.

BEREBUT CAHAYA

Sebab seterusnya adalah berkaitan dengan persaingan untuk mendapatkan cahaya matahari. Pokok mampu mengesan cahaya inframerah dan biru. Apabila pokok dibayangi, atau semakin didekati oleh kanopi pokok bersebelahan, ia akan mula menjauhi kanopi itu atau mencari cahaya di kawasan lapang yang lain. Hasilnya, berlakulah jurang antara kanopi. Ada sebuah ujikaji yang menghasilkan penemuan yang unik. Ada pokok yang mampu mengenal ‘saudara kandung’ seterusnya menyesuaikan pertumbuhan mereka supaya tidak menghalang ‘saudara kandung’ mereka mendapatkan cahaya matahari. Bagaikan berlaku sebuah kerjasama dan kesefahaman yang tinggi antara pokok.

Selain daripada ketiga-tiga tekaan ini, fenomena ‘crown shyness’ juga memberi manfaat besar kepada tumbuh-tumbuhan lapisan hutan yang lebih rendah. Jarak antara kanopi membolehkan cahaya matahari boleh tembus hingga ke lantai hutan. Maka, pokok-pokok rendah yang berada di lapisan bawah hutan dapat menjalankan fotosintesis seterusnya memberi faedah kepada keseluruhan ekosistem.

Hingga ke hari ini, kajian tentang ‘crown shyness’ tetap menjadi kajian yang menarik untuk didalami. Fenomena ini menggambarkan kelakuan interaksi dan adaptasi antara pokok untuk hidup bersama dan berkembang dalam habitat semula jadi. Pemahaman yang mendalam tentang tingkah laku pokok dan ekologi hutan akan membuatkan kita mampu mengesan strategi yang digunakan oleh pokok-pokok untuk bertahan dan berkembang. Ilmu ini juga mampu membawa kita untuk menambah baik setiap usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan. 

 

Sumber : Geographical. August 2024

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *