‘BATA’ LEGO UNTUK BINA BANGUNAN DI BULAN?

Bata adalah satu bahan yang sangat penting untuk menghasilkan sebuah binaan yang kukuh. Biasanya kita boleh pilih beberapa jenis bata iaitu bata tanah liat, bata batu api atau bata pasir mengikut bajet dan jenis bangunan yang ingin dibina. Tetapi pada bulan Julai 2024 lepas, ada satu jenis bata baru telah dicipta iaitu bata LEGO yang dikatakan khas untuk membina struktur bangunan di bulan!

 

Bata bulan yang berbentuk semacam bata LEGO ini telah pun dicipta dengan kerjasama antara Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan LEGO. Ia menggunakan bahan-bahan yang mimik kepada permukaan bulan dan dihasilkan melalui pencetak 3D. Usaha ini merupakan salah satu misi ESA untuk menyelesaikan isu cara membina pangkalan angkasa di bulan.

LEGO dan ESA menggunakan bahan yang dinamakan sebagai regolith, iaitu sejenis debu angkasa yang diperoleh daripada sebuah meteorit yang berusia 4.5 bilion tahun lalu yang bernama ‘NWA 1934 CV3 Carbonaceous chondrite’. Meteorit ini telah dijumpai pada tahun 2000 di barat laut Afrika. Unsur regolith ini adalah sama dengan unsur yang ada banyak di permukaan bulan disebabkan meteorit yang kerap terhempas di sana.

 

Untuk membawa material binaan daripada Bumi ke bulan menggunakan kos yang amat terlampau tinggi dan masa yang terlalu lama. Maka bata bulan yang dihasilkan dengan menggunakan unsur regolith sedia ada di permukaan bulan mungkin mampu menyelesaikan 2 isu besar tersebut. Mungkin, impian untuk membina tapak pelepasan dan penempatan di bulan bakal menjadi kenyataan.

Untuk mendapatkan bahan-bahan yang sesuai untuk cetakan 3D, kumpulan penyelidik mencampurkan 3 bahan. Pertama, sedikit serpihan meteorit yang dihancurkan. Kedua sedikit asid polilaktik, iaitu sejenis plastik yang boleh terurai secara semulajadi. Ketiga, campuran beberapa bahan mineral untuk meniru regolith. 

 

Bata bulan yang dihasilkan memang serupa, sama besar dengan bata LEGO cuma warnanya sahaja yang tak dapat diubah. Kelabu sahaja. Strukutur bata bulan itu juga pun sama dengan bahagian bawahnya berlubang dan atasnya berbonjol. Lepas ini, makhluk asing yang lepak kat bulan pasti akan dapat rasa apa yang kita rasa bila terpijak bata LEGO yang bersepah kat rumah.

 

Syarikat LEGO telah mula mempamerkan 15 biji bata bulan di kedai-kedai LEGO seluruh dunia sehingga 20 September 2024. Yang pastinya, bata bulan ini tak ada di Legoland Malaysia.

 

Sumber : space.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *