41% kawasan laut dalam telah bersifat asid. Ia dijangka mencecah kepada 50% pada akhir abad ini.
Antara penyebab utama berlakunya pengasidan laut adalah disebabkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara yang melarut ke dalam air laut. Karbon dioksida itu pula secara umumnya datang daripada pembakaran bahan api fosil contohnya petroleum.
Kajian dan perbincangan tentang keasidan laut pula banyak bertumpu di kawasan permukaan laut sahaja.
KAWASAN LAUT YANG BERSIFAT ASID
Namun begitu, rupa-rupanya terdapat satu kawasan di laut dalam, sekitar 4 kilometer daripada permukaan laut, juga bersifat asid disebabkan 2 keadaan – tekanan yang tinggi ditambah dengan suhu yang rendah. Kawasan ini dinamakan sebagai garis kedalaman kompensasi karbonat (carbonate compensation depth) atau CCD iaitu kawasan kedalaman laut yang menyebabkan mineral seperti kalsium karbonat larut dengan cepat.
Bayangkan, ada satu ‘benda’ yang diperbuat daripada kalsium karbonat (katakanlah kulit kerang) dilepaskan di laut. Apabila mencapai kedalaman laut yang tertentu, ‘benda’ itu akan mula terhakis. Ketika itu, ‘benda’ itu sedang masuk ke kawasan yang dinamakan sebagai garis kedalaman kompensasi kalsit atau calcite saturation depth (CSD).
Apabila ‘benda’ itu melepasi garis CSD, kini ia melalui kawasan yang dinamakan sebagai lisoklin yang dalamnya sekitar 3-4 kilometer. Sepanjang 3-4 kilometer itu, ‘benda’ itu akan semakin terhakis. Makin dalam, makin cepat ‘benda’ itu terhakis. Penghujung kawasan lisoklin inilah yang dinamakan sebagai garis CCD. Apabila ‘benda’ itu melepasi garis CCD, maka tak ada lagi atau sangat sikit kalsium karbonat yang tinggal dalam ‘benda’ itu.
Selepas garisan CCD inilah air lautnya lebih bersifat asid. 41% daripada keseluruhan laut sekarang adalah pada kawasan ini. Kajian terbaru mendapati kawasan barat Lautan Hindi tidak berlaku sebarang peningkatan tetapi di timur laut lautan Atlantik, kawasan ini meningkat hampir 300 meter sejak dari zaman pra Revolusi Industri. Sekiranya garisan CCD ini meningkat lagi 300 meter, maka kawasan berasid di bawah garis CCD akan turut meningkat sehingga 51%, separuh daripada keseluruhan laut dunia.
BAHAYA SEKIRANYA CCD MENINGKAT

Sekiranya garis CCD meningkat, garis CSD juga turut meningkat dan ia menyebabkan kawasan air laut di atas CSD semakin berkurang. Di atas garis CCD, kalsium karbonat masih didapati dalam air laut dan ia sangat diperlukan oleh hidupan-hidupan marin khususnya bercengkerang dan juga batu karang. Sekiranya kuantiti hidupan marin ini terganggu, maka ia akan merosakkan juga rantaian makanan hidupan laut yang lain dan akhirnya memberi kesan yang sangat buruk kepada manusia.
NEGARA YANG TERKESAN
Secara umumnya, negara-negara pulau dan negara-negara Oceania adalah negara yang akan sangat terkesan dengan fenomena ini. Zon ekonomi eksklusif Bermuda dijangka paling teruk sekiranya CCD meninggi sebanyak 300 meter. Situasi itu akan membuatkan 68% kawasan dasar lautnya berada dalam kawasan lisoklin.
Para pengkaji marin menjangkakan angka 51% tersebut tidak mustahil dicapai pada hujung abad ke 21 iaitu lagi 76 tahun akan datang.
Sumber :
livescience.com
wionews.com