Pada 6 April 1994, kapal terbang yang membawa presiden negara Rwanda dan Uganda ditembak jatuh mengakibatkan kedua-dua pemimpin negara itu maut. Konspirasi berdarah itu membawa kepada peristiwa kejam penghapusan etnik Tutsi di Rwanda oleh etnik Hutu yang ekstrim. Genosid terancang itu telah menyebabkan lebih 1 juta etnik Tutsi dibunuh dengan kejam. 150 000 sehingga 250 000 wanita dilaporkan telah dirogol.
Hampir 2 bulan selepas itu, barulah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertindak masuk ke kawasan bergolak bagi menjalankan misi kemanusiaan. Seorang jurugambar dari Brazil, Sebastian Salgado, juga termasuk di dalam misi ini. Dari lensa kameranya, dia merakam penderitaan dan seksaan yang dialami oleh etnik Tutsi yang disembelih ribuan orang setiap hari.
“Saya tak sangka dan tak boleh terima, yang manusia boleh jadi satu spesis yang sanggup buat perkara kejam sebegitu kepada manusia lain!”
PERMULAAN KEPADA SESUATU YANG HEBAT
Jurukamera ini kemudian jatuh sakit. Sebastiao mendapatkan rawatan melalui rakannya, seorang doktor di Paris. Namun kawannya tidak dapat mengesan penyakit yang dialami kerana segalanya nampak normal. Tapi Sebastiao dinasihatkan untuk berhenti daripada melihat kematian. Jurukamera itu sebenarnya mengalami kemurungan yang sangat teruk akibat terlampau kerap melihat persekitaran yang tidak berperikemanusiaan – seluruh keluarga rakan baiknya di Rwanda dibunuh dengan kejam. Sebastiao juga hampir menemui ajal ditetak pemberontak. Terpaksa menyaksikan sejumlah mayat manusia terapung di sungai Akagera. Dia melihat timbunan mayat manusia yang mati akibat kolera di kem pelarian yang hanya diangkat menggunakan jentolak. – Akhirnya, Sebastiao mengambil keputusan untuk bercuti seketika daripada kariernya sebagai seorang jurugambar. Dia pulang ke kampung di Minas Gerais, Brazil bagi mencari kedamaian.
KEDAMAIAN YANG MENGECEWAKAN.
Kedamaian yang dicari tidak datang dengan mudah. Sebastiao terpempan dengan keadaan kampung halamannya. Dahulunya adalah sebuah kawasan hutan tebal seluas 1750 ekar yang menenangkan, kini tandus. Isterinya, Lèlia Wanick yang mula-mula mencetuskan idea kepada Sebastiao untuk menanam semula pokok di tanah yang baru dihadiahkan oleh mertuanya itu.
Sebastiao yang latar belakang pendidikannya adalah dalam bidang ekonomi, meminta bantuan seorang jurutera perhutanan, Renato de Jesus untuk membantu. Renato mengakui bahawa tanah di situ telah mati tapi dia yakin, ia mampu ‘dihidupkan’ kembali.
FASA 1 : STRATEGI BIJAK
Renato membentangkan rancangan berstrategi kepada Sebastiao. Untuk fasa permulaan, kawasan teduhan, kelembapan, burung dan serangga perlu dikembalikan Seterusnya adalah usaha untuk memulihkan tanah dengan mengembalikan kandungan nitrogen ke paras normal. Sebastiao menganggap, menanam pokok ini seperti menjaga budak kecil yang perlu dibimbing untuk belajar berjalan dan berkomunikasi. Kemudian, budak itu secara semulajadi akan pandai untuk pergi ke sekolah sendiri.
Maka, beberapa langkah dilakukan. Antaranya mengambil 24 orang pekerja yang tugas utamanya membasmi rumput Afrika yang tumbuh di kawasan itu. Sebastiao dan isterinya berusaha mendapatkan modal kewangan melalui kerajaan dan pelbagai pertubuhan serata dunia. Sebastiao pernah melelong sebuah kamera Leica M7 edisi titanium, dan berjaya memperoleh sebanyak USD 107 500 (RM464 900). Wang itu kemudian digunakan untuk memperoleh 30000 anak pokok. Renato pula membantu mengumpulkan sumbangan 200 000 anak pokok melalui syarikat tempat dia bekerja.
Apabila bermulanya musim hujan pada tahun 1999, kerja-kerja menanam dilaksanakan. Sebanyak 2000 anak pokok ditanam bagi setiap hektar. Jarak antara pokok adalah 10 kaki. Antara pokok yang ditanam adalah daripada pelbagai spesis pokok tin, pokok anda-acu, pokok firetree baka Brazil, dan beberapa jenis pokok kekacang yang mampu mengembalikan kandungan nitrogen dalam tanah dengan cepat. Sebastiao dan isterinya menamakan kawasan pemulihan hutan itu sebagai ‘Instituto Terra’
Baca artikel lain :
MENGAPA CROWN SHYNESS BERLAKU?
KULIT POKOK KAYU MAMPU SERAP GAS METANA
BUMBUNG HIJAU LAWAN PULAU HABA BANDAR
FASA 2 : BELAJAR DARIPADA KESILAPAN
Usaha Sebastiao dan isterinya tidak selancar yang disangka. Usaha penanaman yang pertama boleh dikira sebagai gagal apabila hampir 70% anak pokok yang ditanam telah mati. Ia disebabkan lubang tanaman yang terlampau padat. Hampir juga Sebastiao berputus asa tapi apabila mengenangkan baki pokok yang hidup masih banyak, iaitu lebih kurang 40 000 anak pokok, dia dan isteri bingkas bersemangat untuk fokus.
Walau pun pada tahun berikutnya masih ada pokok yang mati, tapi ia tidak sebanyak tahun pertama. Dengan baki pokok yang ada, Sebastiao berjaya menghasilkan sendiri anak pokok dan terus mengembangkan usahanya menanam semula pokok-pokok di kawasan tandus itu.
FASA 3 : PENENTU KEJAYAAN ATAU KEGAGALAN
Menurut Renato, kebanyakan projek-projek pemulihan hutan gagal kerana satu sebab utama – kawasan penanaman tidak diselenggara dengan baik. Tetapi ia tidak berlaku di Instituto Terra. Renato memuji usaha keras Sebastiao yang tidak mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan yang sangat diperlukan. Pekerja-pekerjanya sentiasa memastikan kawasan projek tidak dimasuki tumbuh-tumbuhan perosak, dan membasmi secara semulajadi segala serangga pemakan daun yang muncul.
2 DEKAD YANG PENUH KESABARAN
Agak menakjubkan dengan masa yang diambil hanyalah 20 tahun untuk Instituto Terra kembali hijau. Kawasan-kawasan tempat Sebastiao bermain semasa kecil dahulu ‘dihidupkan semula’. Unggas dan serangga yang disasarkan sejak dari awal perancangan mula memenuhi ruang ‘hutan baru’. Melihat kepada kejayaan usaha gigih Sebastiao, pelbagai pihak mula menyumbang untuk memperkasakan kawasan Instituto Terra. Kini kawasan itu dilengkapi jaringan jalan raya, pejabat, rumah, ruang pembelajaran, bilik tayangan yang boleh membuatkan 140 orang, pusat pelawat, dan rumah hijau yang menempatkan hampir 302 spesis pokok asli.
Instituto Terra juga menganjurkan latihan-latihan kepada guru-guru sains dan program ekologi secara intensif kepada graduan-graduan cemerlang di sekitar kawasan Minas Gerais. Semua program ini mampu diwujudkan kerana adanya sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak.
Kini Instituto Terra telah pun diambil alih oleh kerajaan. Ia kini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan menjadi lokasi penghasilan berjuta-juta anak pokok, melatih ahli ekologi muda dan kawasan lawatan bagi mereka yang ingin melihat bagaimana sebuah kawasan hutan ‘dilahirkan semula’.
Manusia sememangnya perlu belajar daripada tumbuh-tumbuhan. Tumbuhan yang tidaklah bertenaga dan berakal seperti kita namun, saling membantu, menyokong agar semua pokok dapat membesar dan menukarkan kawasan tandus kepada sebuah kawasan ketenangan. Manakala kita, sentiasa penuh hasad, menjatuhkan sesama kita demi kepentingan peribadi yang akhirnya menjadikan manusia itu tak ubah seperti sebuah kawasan tanah tandus gersang.
RUJUKAN :
- The Guardian
- United Nation
- Smithsonian Magazine