FOTOSINTESIS BUKAN SATU-SATUNYA CARA OKSIGEN DIHASILKAN?

Lebih kurang separuh daripada bekalan oksigen dalam udara di seluruh dunia datang daripada lautan. Gas karbon dioksida yang diserap ke dalam air laut, digunakan oleh plankton, alga dan organisma mikro yang terdapat dalam 200 meter daripada permukaan lautan. Ia kemudian ditukar kepada oksigen melalui proses fotosintesis.

Proses fotosintesis dianggap sebagai satu-satunya proses semulajadi yang ada di alam ini bagi menghasilkan oksigen. Sebahagian oksigen yang terhasil di sekitar permukaan laut tenggelam ke dasar laut dalam – yang tidak dapat ditembusi cahaya matahari –  sebagai bekalan untuk organisma akuatik di sana. Ramai pengkaji masih hairan dengan kandungan oksigen yang sangat tinggi di dasar laut, sedangkan kuantiti oksigen yang dibekal dari permukaan lautan tidaklah terlampau banyak. Ditambah lagi dengan ketiadaan cahaya matahari untuk berlakunya fotosintesis.

PENEMUAN YANG DIABAIKAN

Namun, pada tahun 2013, Profesor Andrew Sweetman daripada Scottish Association For Marine Science melihat sejumlah besar gelembung oksigen keluar dari dasar laut yang langsung tidak mendapat cahaya matahari. Dia mengabaikan fenomena itu kerana padanya, oksigen hanya akan terhasil secara semulajadi melalui fotosintesis. Tapi segala-galanya berubah apabila dia menonton sebuah dokumentari mengenai aktiviti perlombongan laut dalam. Dia terdengar perkataan “bateri di dalam batu” yang mencetuskan ilham, mungkinkah oksigen di dasar laut yang dia lihat dahulu, terhasil secara tindak balas kimia dan elektrik? 

Profesor itu membuat ujikaji ringkas yang biasa dilakukan oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 iaitu berkaitan elektrolisis. Dia memasukkan bateri AA biasa ke dalam air masin dan mendapati bunyi desiran dan buih-buih terhasil. Bateri itu telah memisahkan molekul hidrogen dan oksigen di dalam air. Misteri kandungan oksigen yang sangat banyak di dasar laut dalam mungkin boleh dijawab melalui ujikaji ini. Namun begitu, misteri baru terhasil. Dari mana datangnya “bateri” di dasar laut. 

USAHA MENCARI PUNCA

Dokumentari yang Prof. Sweetman tonton dahulu adalah berkaitan perlombongan laut dalam bagi mendapatkan sejenis mineral yang dinamakan sebagai “nodul polimetalik”. Nodul yang berbentuk seperti batu sebesar ubi kentang ini merupakan satu sumber semulajadi yang sangat banyak di lantai lautan. Kandungan utama nodul ini adalah litium, tembaga dan kobalt –  tiga elemen utama yang turut terdapat dalam sebiji bateri AA. 

Pada tahun 2021, Profesor Sweetman mendapat peluang untuk menguji teorinya. Dia pergi ke Zon Clarion-Clipperton (CCZ), iaitu sebuah zon yang dikhaskan untuk penerokaan perlombongan dasar laut dalam yang terletak di utara lautan Pasifik. Ujikaji dijalankan untuk mengesan faktor lain yang boleh membantah teorinya. Dia beranggapan, berkemungkinan oksigen yang terhasil di dasar laut dalam disebabkan oleh tindakan mikrob. Dengan menggunakan simulasi makmal, saintis menghapuskan semua organisma yang ada di dalam air. Hasilnya, bacaan oksigen tetap juga tinggi.

 

Baca artikel lain : 

KES-KES UNIK TERHASILNYA SAMPAH ANGKASA

DENGAN BERJALAN KAKI, KITA BOLEH KELILING BUMI 3 KALI!

LAVA GUNUNG BERAPI YANG SAMA LAJU DENGAN KERETA

 

Ujikaji kedua dijalankan. Mereka mengira voltan yang dihasilkan oleh sebiji nodul. Kajian itu mendapati bahawa voltan yang ada dalam sebiji nodul tidak mampu melaksanakan tugas memecah molekul air laut. Tetapi, sekiranya banyak nodul bersentuhan antara satu sama lain, voltan yang terhasil menyamai voltan sebiji bateri AA. Seperti lampu suluh yang hanya akan menyala jika lebih 2 bateri bersentuhan. Di dasar laut, nodul-nodul ini sememangnya berselerak yang memungkinkan teori Prof. Sweetman dapat dibuktikan.

 

KESAN DOMINO KEPADA PENEMUAN

Penemuan penting ini mencetuskan perbincangan idea-idea baru seperti penghasilan oksigen melalui bateri di kawasan seperti permukaan bulan dan planet-planet. Namun, yang paling penting, penemuan ini bakal mengubah suasana teknologi perlombongan dasar laut dalam yang mula diperkenalkan pada tahun 1970. 

Dengan polisi teknologi hijau yang mahu dicapai oleh banyak negara, manusia beralih kepada penggunaan bateri sebagai sumber tenaga berbanding bahan api fosil. Sumber-sumber untuk menghasilkan bateri, peralatan elektronik seperti telefon pintar, panel solar, turbin angin dan kenderaan elektrik diperlukan dan nodul polimetalik seakan memenuhi keperluan itu. 

 

AIR TENANG JANGAN SANGKA TIADA GODZILLA

Pengetahuan manusia tentang kepelbagaian bio kawasan laut dalam adalah tersangat cetek. Penemuan tentang penghasilan oksigen oleh nodul polimetalik ini boleh dijadikan contoh betapa kurangnya ilmu manusia tentang laut dalam. Apabila berlaku aktiviti perlombongan di kawasan yang manusia sendiri kurang arif tentangnya, ia boleh mengundang kerosakan ekosistem dan kesan bahaya mungkin berbalik kepada manusia itu sendiri.

Walaupun industri perlombongan ini masih dalam fasa percubaan dan belum bermula sepenuhnya, tetapi para saintis dan pengkaji marin merasakan ia tidak sepatutnya berlaku. Setakat ini, 32 negara, 52 badan korporat, dan sejumlah 800 saintis dan pakar polisi menyokong agar diadakan moratorium atau penangguhan aktiviti perlombongan. 

Pada ketika ini, Zon Clarion-Clipperton sangat menjadi idaman kepada pelombong mineral tetapi mereka perlu mendapatkan permit melombong daripada International Seabed Authority (ISA), sebuah organisasi yang keahliannya melibatkan 167 buah negara dan juga Kesatuan Eropah, yang berfungsi untuk melindungi ekosistem dasar laut dalam. Sehingga 2022, hanya 1 syarikat perlombongan yang diberi permit untuk melaksanakan aktiviti percubaan melombong iaitu The Metals Company yang berpusat di Kanada. Manakala ISA telah mengeluarkan 16 kontrak perlombongan dasar laut dalam kepada syarikat persendirian untuk melaksanakan kerja-kerja penerokaan dasar laut CCZ yang dianggarkan seluas 1 035 995 kilometer persegi.

 

Sumber : 

  1. International Seabed Authority
  2. BBC.com
  3. Smithsonian Magazine

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *