,Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), memberi label ‘Endangered Language’ (Bahasa Yang Terancam) iaitu bahasa yang berisiko untuk tidak lagi dituturkan disebabkan penuturnya meninggal dunia atau bertukar menuturkan bahasa lain dan di benua Asia, terdapat beberapa bahasa yang termasuk dalam kategori ini.
UNESCO juga mengkategorikan tahap kepupusan bahasa ke dalam empat kumpulan iaitu :
Vulnerable (tidak dituturkan oleh kanak-kanak di luar rumah), Definitely Endangered (Tidak dituturkan oleh kanak-kanak), Severely Endangered (dituturkan hanya di kalangan generasi tua) dan Critically Endangered (dituturkan hanya sedikit daripada kalangan generasi tua)
-
NAUKAN YUPIK (semenanjung Chukchi, Timur Siberia, Russia)
Baki orang yang mampu bertutur : 70 orang
Bahasa ini adalah bahasa ibunda bagi 50 orang yang tinggal di Lavrentiya, Siberia. Mereka ini asalnya adalah dari perkampungan Naukan, Siberia, seberang Selat Bering dari Alaska.
Melalui kajian linguistik, bahasa ini hanya dituturkan di Siberia, tetapi ia juga berada antara pengaruh bahasa Yupik orang di Pulau St. Lawrence di Siberia, dan bahasa Yupik orang Eskimo di Alaska.
Walaupun saiz kumpulan yang menuturkan bahasa ini kecil, tetapi dari segi rekod, perbendaharaan katanya telah mula direkod sejak tahun 1732.
-
XYZYL (Khakassia, Selatan Siberia, Russia)
Baki orang yang mampu bertutur : 50 – 60 orang
Bahasa Xyzyl (disebut : hizel) semakin dilupakan dan terancam setelah bahasa Rusia dijadikan sebagai bahasa kebangsaan. Pada asalnya, dikatakan bahasa Xyzyl adalah sama dengan bahasa Khakas, tapi orang Xyzyl berkeras menentang pandangan itu. Maka pada tahun 2012, terdapat satu kajian bagi meneliti perbezaan antara 2 bahasa ini. Walaupun kedua-dua bahasa ini ditulis dalam abjad-abjad Cyril, pengkaji mendapati sememangnya bahasa Xyzyl dan Khakas adalah 2 bahasa yang berbeza.
Kesedaran untuk memelihara kelangsungan bahasa ini telah pun dijalankan. Antaranya usaha Mikhail Tabatkin salah seorang penduduk tua di kampung Sarala, yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk merekod bahasa dan cerita-cerita penglipur lara dalam bahasa Xyzyl.
-
TSEZ (Daerah Tsunta, Dagestan, Russia)
Baki orang yang mampu bertutur : 15 000 orang
Bahasa ini adalah bahasa sekumpulan penduduk beragama Islam yang semakin ditelan arus kemodenan. Budaya pakaian Barat dan teknologi menyerap masuk ke dalam komuniti ini. Ramai daripada mereka berpindah ke kawasan rendah dan beralih kepada budaya orang Rusia.
Bahasa Tsez adalah antara bahasa yang paling rumit sistem bunyinya. Dalam bentuk penulisan pula, bahasa ini tidak direkodkan dengan baik. Ia tidak diajarkan di sekolah-sekolah di Dagestan sebaliknya bahasa Avar diajar selama 5 tahun kemudian belajar pula bahasa Rusia.
Kebanyakan perkataan-perkataan yang ada dalam bahasa Tsez mempunyai pengaruh daripada bahasa Avar, Georgian, Arab dan Rusia terutamanya dalam kata pinjaman.
-
SARIKOLI (Timur Tajikistan)
Baki orang yang mampu bertutur : 16 000 orang
Sarikoli adalah sebahagian daripada dialek daripada bahasa Pamiri dan ia dituturkan oleh penduduk tanah tinggi di Tajikistan. Walaupun masih terdapat belasan ribu orang yang masih bertutur menggunakan bahasa ini, tapi kelangsungan bahasa ini masih dikira terancam kerana ia tidak mempunyai sistem tulisan. Akibatnya, bahasa ini berisiko untuk tidak dapat diwariskan dan seterusnya dikekalkan.
-
SA’OCH (Kampung Samrong Loeu, Kemboja)
Baki orang yang mampu bertutur : 10 orang
Bahasa Sa’och merupakan bahasa yang dituturkan oleh suku Sa’och, yang merupakan sebahagian daripada orang pribumi Por/Pearic. Semasa di bawah pemerintahan rejim Khmer Rouge, iaitu sekitar 1975 hingga 1979, terdapat polisi untuk membunuh mana-mana suku Sa’och yang berani bertutur menggunakan bahasa ini.
Pada tahun 2010, hanya tinggal 10 orang sahaja yang mampu bertutur menggunakan bahasa itu. Mereka merupakan orang lanjut usia yang masih tinggal di kampung, tetapi di luar tanah tradisi mereka.
-
MEDNYJ ALEUT (Pulau Bering, Semenanjung Kamchatka, Russia)
Baki orang yang mampu bertutur : Tiada (pupus)
Bahasa ini adalah bahasa campuran yang ditutur pada asalnya di pulau Mednyj, di perairan pantai Kamchatka. Penduduk di pulau itu dipindah ke pulau Bering pada tahun 1970.
Bahasa Mednyj Aleut menggabungkan 2 jenis bahasa iaitu bahasa Rusia dan bahasa Aleut dan penutur pertamanya adalah kanak-kanak. Bahasa ciptaan mereka ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Aleut, manakala perkataan dalam bahasa Rusia turut bercampur-campur, terutamanya sebagai kata kerja.
Penutur terakhir bahasa itu iaitu Gennady Yakovlev telah meninggal dunia pada tahun 2022, membuatkan bahasa itu terus pupus.
-
AINU (Hokkaido, Jepun)
Baki orang yang mampu bertutur : 5 orang
Suku Ainu adalah pribumi yang menetap di daratan sekitar Laut Okhotsk termasuk kawasan milik negara Jepun seperti Pulau Hokkaido dan Timur Laut Pulau Honshu, serta kawasan sempadan Russia seperti Pulau Sakhalin, Pulau Kuril, semenanjung Kamchatka dan Khabarovsk Krai.
Zaman beredar, suku Ainu telah terserap masuk ke dalam masyarakat Jepun. Walaupun hasil bancian rasmi mencatatkan populasi suku ini berjumlah 25 000 orang, tetapi bilangan suku Ainu tulen hanya tinggal beberapa ratus sahaja.
Di Pulau Kuril, bahasa Ainu lenyap sepenuhnya pada tahun 1960-an. Penutur terakhir bahasa ini di Pulau Sakhalin pula meninggal dunia pada pertengahan 1990-an. Pada tahun 2020, kerajaan Jepun membuka Muzium Kebangsaan Ainu di Hokkaido sebagai usaha untuk memelihara budaya dan bahasa Ainu.
-
KUSUNDA (Barat Nepal)
Baki orang yang mampu bertutur : 1 orang
Bahasa Kusunda dianggap sebagai ‘language isolate’ (bahasa terpisah) yang tidak ada langsung bahasa-bahasa lain di dunia yang boleh berkait dengannya dari segi fonologi (bunyi sebutan), morfologi (pembentukan kata), sintaksis (susunan kata dalam ayat) dan leksikon (perbendaharaan kata)
Bayangkan, nak jawab “ya” atau “tidak” pun bahasa ini tak ada perkataannya juga tidak ada perkataan berkaitan dengan arah.
Bahasa Kusunda dituturkan oleh suku Kusunda yang bernama ‘myak’, sekumpulan komuniti yang hidup secara nomad. Komuniti ini semakin menghilang dengan pantas. Pada tahun 2012, tinggal 3 orang sahaja yang mampu bertutur dalam bahasa ini iaitu Puni Thakuri, Kamala Khatri (kanan) dan Gyani Maiya (kiri). Sehingga 2023, Puni Thakuri dan Gyani Maiya telah mati, meninggalkan Kamala Khatri satu-satunya penutur bahasa Kusunda.