Lain macam betul orkid jenis ni. Kebiasaannya orang tanam orkid untuk hiasan sebab dia ada banyak warna, bentuk dan corak. Kadang-kadang ada juga jenis orkid yang wangi dan yang lagi pelik apabila kita dengar, ada juga orkid yang bau macam badan manusia?
Sebenarnya, memang ada satu jenis orkid yang mengeluarkan bau seperti bau badan manusia, iaitu jenis small northern bog orchid, atau nama saintifiknya Platanthera obtusata yang tumbuh di Amerika Syarikat.
Apabila dikaji, ahli biologi mendapati bau yang dikeluarkan oleh orkid ini sebenarnya adalah untuk tujuan pendebungaan. Bau itu boleh menarik perhatian sejenis nyamuk Aedes iaitu jenis Asian Tiger Mosquito untuk menjadi ejen pendebungaan.
Nyamuk yang terpedaya dengan bau badan manusia itu akan singgah di bunga orkid, kemudian debunga-debunga daripada bunga itu akan melekat di kepala nyamuk. Nyamuk yang masih lapar, akan pergi ke bunga orkid lain yang berhampiran kerana masih terpedaya dengan bau yang dikeluarkan oleh orkid di sekitarnya. Maka, tersebarlah debunga untuk tujuan pendebungaan.
Dr. Jeff Riffel, ahli biologi yang menemui fenomena unik ini berkata bahawa penemuan ini akan membolehkan pasukannya mengkaji molekul-molekul bauan yang menarik perhatian nyamuk-nyamuk ini. Kalau berjaya, berkemungkinan hasil kajian itu boleh membuka jalan untuk melindungi manusia daripada ancaman nyamuk ini.
Nyamuk jenis ini mampu menyebarkan penyakit seperti demam denggi dan demam kuning. Penyakit seperti Encephalitis seperti Japanese Encephalitis (JE) juga mampu dibawa oleh nyamuk ini.
Hebat ciptaan Allah. Teringat pula dalam surah al Baqarah ada cerita pasal nyamuk di ayat 26.
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik”