Keadaan ‘pulau haba bandar’ berlaku apabila bangunan konkrit, simen, besi dan berkaca, yang sangat banyak di kawasan bandar, menyerap haba pada waktu siang dan membebaskannya pada malam hari. Ini menyebabkan suhu di dalam bandar lebih panas berbanding kawasan pinggir bandar.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan pulau haba ini antaranya ialah dengan memasang ‘bumbung hijau’ pada bangunan-bangunan di tengah bandar. Malaysia antara negara yang aktif dalam mengaplikasikan teknik ini. Di sini disenaraikan beberapa bangunan yang memasukkan konsep ‘bumbung hijau’ ke dalam seni binaannya.
LAMAN PADI, LANGKAWI
Laman Padi di pulau Langkawi adalah satu destinasi eko pelancongan yang terdiri daripada kawasan sawah, taman herba dan muzium bagi mengumpulkan pelbagai maklumat berkenaan padi.
Ia terletak di Pantai Cenang dengan keluasan lebih kurang 14 ekar manakala kawasan hijau sawahnya adalah lebih kurang 9 ekar.
UNIVERSITI HERIOT-WATT, PUTRAJAYA
Institusi swasta ini mula dibuka pada bulan September 2014 dengan keluasan 4.8 ekar. Ia mempunyai ‘bumbung hijau’ dengan menggunakan rumput hidup di kawasan bersaiz 300 meter panjang dan 300 meter lebar. Bumbung rumput ini menjadi satu identiti unik kepada universiti yang berpusat di United Kingdom.
Baca juga : DALAM SETAHUN INI, SUHU BUMI BERTAMBAH 1.5 CELSIUS SETIAP BULAN
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA
Pusat konvensyen yang berada di Presint 5 Putrajaya ini terletak di kawasan paling tinggi di Putrajaya. Ia telah siap dibina pada tahun 2003. Bagi bahagian dewan-dewan konferen, bumbungnya dibina dengan menggunakan konsep ‘bumbung hijau’ seluas 43.919 meter persegi. Ia merupakan ‘bumbung hijau’ pertama di Malaysia. 76.41% daripada keseluruhan kawasan pusat konvensyen ini dilitupi dengan tumbuh-tumbuhan yang bertujuan untuk mengurangkan kesan pulau haba
PLATINUM SENTRAL, KUALA LUMPUR
Bangunan pejabat yang terletak di sebelah KL Sentral ini telah disiapkan pada bulan Ogos 2012 di atas tanah seluas 78 967 meter persegi. Konsep ‘bumbung hijau’ yang diaplikasikan adalah jenis intesif. Di dalam bangunan komersial ini terdapat banyak taman-taman mini, bumbung dan dinding yang berpokok. Platinum Sentral juga telah dianugerahkan penarafan ‘Platinum’ oleh Green Mark Ceritifcation Scheme dan tersenarai dalam Green Building Index Certified.
SECRET GARDEN, 1 UTAMA, PETALING JAYA
Sambil bersantai sambil membeli belah di 1 Utama, pengunjung juga boleh singgah di Secret Garden yang berada di tingkat paling atas yang mempunyai hampir 500 spesis tumbuhan eksotik. Taman seluas 2787 meter persegi ini dikawal selia oleh ahli-ahli botani yang hebat dan ia merupakan taman bumbung terbesar di Asia Tenggara
MENARA ETIQA
Ibu pejabat syarikat insuran ini terletak di Bangsar dan tidak jauh daripada pusat membeli belah Midvalley. Pada tahun 2016, bangunan ini menerima anugerah emas dalam penarafan Green Building Index dan pada tahun 2018 pula, ia menerima anugerah platinum bagi penarafan GreenRe. Bangunan ini dibina dengan memasukkan elemen taman menegak yang mempunyai 34 spesis tumbuh-tumbuhan dengan keluasan kawasan sebesar 1000 meter persegi.
Sumber :
- An Overview of Green Roof Development in Malaysia and a way forward.
- Green Roof : Its Awareness Among Professionals and Potential in Malaysian Market
- elmich.com