KOMPAS ASALNYA DIGUNAKAN UNTUK TUJUAN KHURAFAT

Siapa sangka asal muassal manusia guna kompas adalah untuk perkara khurafat.

Kompas merupakan antara alat penentu arah ciptaan manusia selain daripada alat semulajadi menggunakan matahari dan bintang. Ahli sejarah mendapati, kompas berasal dari China tapi ia tidak digunakan untuk menentukan arah. Ia digunakan untuk tujuan feng shui atau geomansi, satu ilmu pertilikan tentang suatu kawasan tanah. Bagi orang Islam, ilmu ini adalah ilmu khurafat. Kompas hanya mula digunakan sebagai penentu arah oleh pelayar di laut pada era 1300 Masihi. Pakar sejarah dan saintis sendiri tidak dapat memutuskan bila penemuan prinsip kompas magnetik berlaku. Yang pasti, tamadun Greek purba tahu tentang magnet dan lebih kurang 2000 tahun yang lalu, ilmuan negara China tahu tentang jarum yang akan menunjuk ke arah Utara dan Selatan selepas digosok dengan batu lod (lodestone).

2 SM hingga 2 M : Sinan

Rekod paling awal menunjukkan wujudnya ‘alat penunjuk’ yang mempunyai 2 komponen. Pertama, tapak bulat yang diperbuat daripada gangsa. Kedua, penunjuk berbentuk sudu/senduk yang diperbuat daripada batu lod. Tapaknya yang dipanggil sebagai “kepingan syurga”, diletakkan di atas lapik berbentuk segiempat yang mempunyai rajah 8-trigram I-Ching, 24 tanda arah, dan 28 posisi bulan. Digunakan untuk tujuan feng shui dan menilik kawasan tanah, penunjuk akan bergoyang, berpusing dan akhirnya berhenti menunjukkan ‘bacaan’ rajah. Maka tukang ramal akan memberi keputusan tentang lokasi dan masa terbaik untuk melakukan sesuatu terutamanya proses pengkebumian. Terdapat cerita tentang Maharaja Chin menggunakan kaedah ini dalam mahkamah untuk mengekalkan kuasanya. Kelemahan Sinan adalah dari segi saiznya yang besar dan permukaan ‘kepingan syurga’ yang kasar yang membuatkan penunjuk selalu tidak bergerak.

 

960 – 1127 : Penunjuk Ikan

Dalam tempoh yang agak panjang untuk menambah baik kelemahan Sinan, terdapat beberapa penemuan baru telah berlaku. Ilmuan China mendapati jarum besi yang digosok dengan batu lod akan menjadikannya bersifat magnet. Maka, hanya dengan menggunakan sekeping kayu nipis yang diukir dengan bentuk ikan, dan semangkuk air, jarum yang telah dimagnetkan, ia dilekat di muncung kepingan ikan dan akan mula berpusing atas air dengan lebih mudah, bebas dan akhirnya berhenti. Muncung ikan itu akan menunjuk ke arah Selatan. Alat ini lebiih sensitif dan tepat berbanding Sinan.

 

1127 – 1279 : Penunjuk Kura-kura

Selepas itu, reka bentuk penunjuk arah ikan diperbaharui dengan terciptanya penunjuk kura-kura yang tidak memerlukan mangkuk dan air. Sebuah ukiran kura-kura dibentuk dan batu lod dimasukkan ke dalam ‘badan’ kura-kura. Ukiran kura-kura itu diletakkan di atas sebatang paku buluh. Jarum besi yang telah dimagnetkan akan dicucuk di bahagian ekor kura-kura dan ukiran itu akan bergerak dengan bebas untuk menunjukkan arah. Penunjuk ini sama seperti penunjuk ikan iaitu jarumnya sentiasa menunjuk ke arah Selatan. 

Alat ini telah mengubah fungsi penunjuk daripada alat tilikan kepada alat penunjuk arah yang membolehkan pedagang China mula mengembara melalui laut. Berlaku hubungan perdagangan yang sangat aktif antara Dinasti Song dan Tanah Arab. Teknologi penunjuk arah juga diperkenalkan kepada orang Arab dan orang Arab memperkenalkan alat tersebut kepada orang Eropah.

 

1300-an : Kompas Pelaut (Mariner’s Compass)

Orang Eropah berjaya menghasilkan kompas yang menjadi asas kepada kompas yang ada pada zaman kini. Kalau dahulu, carta penunjuk adalah mengenai perbintangan, zodiak dan bulan, kini carta itu diganti dengan 4 arah angin utama – Utara, Selatan, Timur dan Barat dan 28 arah angin perantaraan yang dipanggil sebagai ‘ros kompas’  Kompas ini terdiri daripada jarum magnetik yang berputar bebas dalam sebuah kotak kaca. Ia nampak ringkas tetapi ia besar, berat dan tak praktikal.

Dengan adanya alat penunjuk arah ini, maka langkah manusia lebih panjang. Peta Portolan iaitu peta lautan pertama, diterbitkan. Penjelajahan dan penjajahan berlaku dengan sangat aktif. Perdagangan antarabangsa juga pesat berkembang dengan wujudnya Laluan Sutera, Laluan Teh dan Laluan Rempah.

Tetapi, peta ini juga mempunyai satu kelemahan. Pada awal abad ke 15, pelayar dan pengembara menyedari, arah utara yang ditunjukkan oleh kompas tidak sama dengan utara geografi Bumi.

 

1500-an : Kompas Binnacle

Selain daripada masalah kompas tidak menunjuk ke arah Utara geografi Bumi, kemajuan pembinaan kapal pelayaran yang mula menggunakan besi dan keluli juga menjadikan bacaan kompas tidak tepat. Pembacaan yang ‘lari’ ini dinamakan sebagai ‘deviation’ atau pelencongan arah. Maka terciptalah Binnacle, iaitu satu bekas silinder yang diperbuat daripada bahan bukan Ferus (Besi). Pada awal kemunculannya, Binnacle diperbuat daripada kayu. Kompas diletakkan di bahagian atas Binnacle, diapit dengan 2 bola besi yang dinamakan sebagai Kelvin Spheres dan sebatang besi panjang yang dipanggil sebagai Flinders Bar di tengahnya.

Selain berlaku semasa pelayaran di laut, pelencongan arah boleh juga terjadi ketika penerbangan yang disebabkan oleh besi yang terdapat pada badan kapal terbang.

 

1800-an : Kompas Bearing

Penggunaan kompas arah semakin meluas dan kemajuan rekacipta akhirnya menghasilkan kompas bearing. Kompas jenis ini membolehkan pengembara mengira bering (sudut) dengan menyelaraskan kompas dengan satu garis tetap (lubber line) di tengah kompas. Dengan menggabungkannya dengan ros kompas, kompas ini menjadi asas kepada rekaan-rekaan kompas terkini pada hari ini.

Pada tahun 1813, kompas bearing direka dengan merendamkan jarum penunjuk yang bermagnetik ke dalam air. Faedahnya, jarum itu terlindung daripada gegaran atau ayunan yang berlebihan yang boleh menyebabkan salah bacaan.

Pada tahun 1885, reka bentuk kompas tangan, iaitu kompas bearing dalam bentuk yang mudah dibawa dipatenkan. Kemudian pada tahun 1902, kompas dengan rekabentuk terbaru, kompas Bézard, yang mempunyai cermin yang boleh digunakan semasa menyelaraskan kompas, pun dipatenkan.

 

1906 : Kompas Gyro

Dalam tahun 1812 hingga 1830, kajian ilmu tentang gyroscope berkembang dan pada 1906, terhasillah kompas yang tidak lagi bergantung kepada medan magnetik Bumi. Ia menggunakan teknologi gyroscope bagi mencari arah Utara yang benar dan lebih mengurangkan masalah-masalah pelencongan, gelombang magnetik dan kesan struktur besi. Kapal-kapal laut dan kapal selam mengguna pakai kompas gyro.

 

 

Pada pertengahan tahun 1960, teknologi satelit berkembang pesat. Dengan adanya satelit, maka wujudlah teknologi Global Positioning System (GPS) yang kita gunakan secara meluas pada hari ini. Walaupun nampak seperti GPS ini menenggelamkan penggunaan kompas, tapi kompas masih relevan dan diguna pakai dalam kapal terbang dan kapal laut sebagai penunjuk arah. Begitulah perkembangan manusia menggunakan teknologi, dalam kes ini daripada alat khurafat, ia berkembang menjadi peralatan sains. Walaupun hidup kita dimudahkan dengan teknologi GPS, tapi kemahiran menggunakan kompas masih menjadi satu kemahiran penting yang perlu ada pada setiap orang. Bayangkan, kita sesat di dalam hutan tebal atau di tengah laut. Tangan kanan ada telefon pintar siap dengan teknologi GPS dan di tangan kiri ada kompas serta peta. 

Dan tiba-tiba telefon pintar itu habis bateri.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *