Kulit pokok dalam hutan seluruh dunia rupa-rupanya berupaya serap gas metana! Ia satu penemuan penting yang akan memberi kesan besar untuk menangani masalah perubahan iklim dunia.
Selama ini, kita tahu yang pokok, melalui daun-daun hijaunya, berfungsi mengitar gas karbon dioksida (CO2). Ia salah satu gas rumah hijau selain wap air, metana, CFC dan nitrus oksida. Proses yang kita kenal sebagai fotosintesis mencampurkan karbon dioksida dengan cahaya matahari serta air yang dicari melalui akar. Ia akan menghasilkan sejenis gula yang menjadi ‘makanan’ pokok, dan selebihnya akan disimpan sebagai tenaga biojisim di dalam batang hingga ke ranting. Pokok-pokok bagaikan stor-stor besar yang menyimpan karbon.
PENEMUAN MENAKJUBKAN
Sekarang, melalui satu kajian yang besar di serata dunia, yang diketuai oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Pusat Ekologi dan Hidrologi Uniter Kingdom, mendapati ada satu lagi cara pokok mampu menyerap gas rumah hijau yang menjadikan sumbangan pokok terhadap iklim dunia lebih besar berbanding dengan apa yang kita ketahui sebelum ini.
Selain karbon dioksida, satu lagi gas rumah hijau yang besar kesannya kepada pemanasan iklim dunia adalah gas metana. Jumlah gas metana dalam atmosfera kita meningkat pantas dalam 20 tahun kebelakangan ini.
Sifat gas metana antaranya memerangkap haba di atmosfera lebih banyak daripada gas karbon dioksida. Jangka hayat gas metana di udara pula lebih pendek iaitu 10 tahun berbanding karbon dioksida yang boleh berusia sehingga beratus-ratus tahun.
Melalui 2 sifat gas metana ini, boleh difahami sekiranya berlaku perubahan kepada sumber yang mengeluarkan metana ke udara atau proses mengeluarkan metana daripada atmosfera, kesannnya akan cepat terasa. Jika proses mengeluarkan metana dipertingkatkan, peningkatan iklim yang sekarang ini berlaku dengan pantas boleh dibantutkan dengan segera.
Disebabkan ini, ramai penyelidik sangat berminat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang cara metana tersebar di udara dan kepelbagai cara untuk mengeluarkannya daripada atmosfera.
Baca juga : BUMBUNG HIJAU LAWAN PULAU HABA BANDAR
BAHAGIAN POKOK YANG TERLEPAS PANDANG
Kulit pokok, salah satu struktur pokok yang mungkin ramai tak sedar tentang kegunaannya kepada atmosfera dan iklim, kini mula diteliti. Mikrob yang menjadikan kulit pokok sebagai habitat didapati mampu menyerap gas metana di udara.
Kawasan tanah bencah (wetland) terkenal dengan kawasan yang kaya dengan sumber metana semulajadi. Mengikut kajian yang sedia ada, pokok-pokok di kawasan berpaya dan di dataran limpah (floodplain) mampu mengeluarkan gas metana di pangkal batang. Tetapi, sehingga hari ini, pokok-pokok yang tumbuh di kawasan yang tak digenangi air yang merangkumi keluasan hutan di dunia, belum banyak kajian berkenaan pertukaran gas metana dalam pokok dilakukan.
Sekumpulan pengkaji cuba mengukur pertukaran gas metana di batang ratusan pokok di hutan-hutan pelbagai iklim seperti di Amazon, Panama, Sweden dan di Oxford, United Kingdom.
Untuk langkah permulaan, para pengkaji melihat kadar pertukaran gas metana di pangkal pokok. Sebahagian pokok mampu melakukannya dengan kadar yang sedikit. Selepas itu, para pengkaji terkejut apabila proses pengukuran itu mula bergerak ke arah atas pokok. Semakin tinggi pokok, semakin tinggi kadar penyerapan gas metana daripada udara.
Proses seterusnya, pengkaji ingin menjawab persoalan adakah proses pertukaran ini melibatkan sesuatu kawasan atau ia berlaku di peringkat global. Untuk ini, mereka mengaplikasikan teknologi LiDAR atau Light Detection and Ranging dengan menggunakan peralatan terrestrial laser scanning (TLS). Alat ini digunakan untuk mendapatkan luas permukaan berkayu pokok daripada sebesar batang sehingga ke sehalus ranting.
Hasilnya, mereka mendapati, sekiranya semua kulit kayu daripada pokok-pokok seluruh dunia dibentangkan, ia boleh melitupi kawasan daratan seluruh Bumi. Ini bermaksud, potensi kulit pokok melakukan pertukaran gas dengan atmosfera adalah sangat tinggi cuma, cara ia berlaku masih belum dapat difahami.
KELEMAHAN POKOK DALAM MENYERAP METANA
Mengikut data daripada kajian-kajian sebelum ini, setiap tahun, dianggarkan lebih kurang 25 juta hingga 50 juta tan gas metana di udara diserap oleh pokok yang kebanyakan datang daripada hutan tropika. Tanah adalah satu lagi elemen semulajadi yang mampu menyerap metana dengan jumlah yang lebih kurang sama dengan hutan. Tapi keluasan tanah di Bumi tidak berubah berbanding dengan keluasan hutan yang boleh mengalami penebangan dan tanam semula. Perubahan keluasan hutan ini sangat beri kesan ketara kepada jumlah metana di udara. Jika kita memulihkan hutan dan menanam pokok di tempat yang strategik, lebih banyak metana diserap daripada udara.
CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG
Penemuan tentang kemampuan kulit pokok untuk menyerap metana menawarkan satu lagi peluang dalam menyelesaikan masalah perubahan iklim secara semulajadi. Mungkin selepas ini, kajian boleh berfokuskan tentang spesis-spesis pokok yang sangat baik mengurangkan metana di udara.
Negara-negara di seluruh dunia, sepatutnya diberi bantuan dan pelbagai insentif untuk memelihara kawasan hutan yang sedia ada dan mencegah penebangannya. Penemuan terbaru ini mengukuhkan lagi kepentingan pokok dan hutan kepada sistem iklim kita dan membuktikan bahawa masiih banyak yang perlu manusia pelajari tentang ekosistem.
Sumber : sciencealert.com