HARIMAU, GAJAH CEROBOH PENEMPATAN BUKTI PENEROKAAN EKOSISTEM

GUA MUSANG: Kemunculan haiwan liar seperti gajah dan harimau di kawasan penempatan Orang Asli di daerah ini membuktikan penerokaan hutan memberi impak besar kepada ekosistem alam.

Aktiviti penerokaan hutan berlaku secara berskala besar untuk tujuan pembalakan dan pertanian tidak hanya menyebabkan menyebabkan haiwan liar hilang habitat asal, malah turut mencemari sungai seperti didakwa 1,000 penduduk Orang Asli Pos Pasik.

Penghulu Kampung Tendrik di Pos Balar, Alang Segan berkata sejak tahun lalu haiwan liar kerap masuk dan berkeliaran ke perkampungan mereka sehingga membimbangkan penduduk.

Beliau tidak menolak kemungkinan kemunculan haiwan liar di kawasan penempatan Orang Asli itu berpunca daripada penerokaan hutan di pos terbabit.

“Dalam tempoh setahun ini, kami berhadapan masalah gangguan haiwan liar iaitu harimau dan gajah liar.

“Jika tahun lalu kami hidup ketakutan kerana harimau belang yang berkeliaran di kawasan penempatan penduduk, tahun ini pula serangan gajah liar terhadap tanam pisang penduduk menyebabkan kami kerugian ribuan ringgit,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Alang memaklumkan di pos terbabit terdapat kawasan pembalakan dan juga aktiviti perlombongan bijih besi yang menyebabkan sungai tercemar.

Katanya, aktiviti perlombongan bijih besi dilakukan di kawasan pedalaman Orang Asli itu sudah berlaku hampir 10 tahun.

“Aktiviti perlombongan ini juga secara tidak langsung memberi kesan kepada penduduk Orang Asli apabila sungai tercemar, selain mengganggu ekosistem alam.

“Keadaan sungai yang tercemar menjejaskan pendapat Orang Asli di kawasan pedalaman yang mencari hasil sungai untuk sara hidup,” katanya.

Ketua Tanah Wilayah Adat Pos Simpor, Dendi Johari pula berharap kerajaan negeri dan Pusat dapat memberi perhatian serius tentang masalah gangguan haiwan liar berpunca daripada aktiviti pembukaan hutan yang tidak terkawal.

Katanya, perlu ada kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lebih telus dalam kelulusan penerokaan hutan untuk aktiviti pembalakan, perlombongan dan pertanian.

“Akibat kesan pembalakan dan pembukaan ladang komersial dengan kaedah ‘cuci mangkuk’ (tebang habis) di kawasan hutan simpan kekal menyebabkan haiwan liar tiada habitat dan berlaku serangan gajah terhadap tanaman penduduk Orang Asli.

“Kami masyarakat Orang Asli menyeru kerajaan negeri mahupun Pusat supaya perkara ini diberi perhatian serius, terhadap pembangunan yang tidak seimbang di mana pembukaan ladang berhektar-hektar dengan kajian EIA tidak telus.

“Apa yang kami perhatikan pembukaan tanah di hutan simpan kekal semakin berleluasa tanpa kawalan,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *