Pengkaji alam kini mampu meninjau beberapa lingkungan dasar laut di perairan selatan Australia yang sebelum ini tidak dapat diteroka.
Dalam jurnal yang diterbitkan di laman web Frontiers in Marine Science, beberapa peta dasar laut yang agak terperinci telah berjaya dihasilkan dengan merujuk kepada rakaman-rakaman video yang diambil oleh singa laut. Melalui rakaman itu juga, pengkaji berjaya mengetahui butiran maklumat tentang taburan pelbagai jenis habitat dan spesis marin di situ.
Menurut salah seorang pengkaji, Nathan Angelakis, tinjauan yang dibuat dari bot, tidak akan mampu mencapai kawasan-kawasan yang sangat dalam dan terpencil. Daripada data yang telah dikumpulkan, mereka sekarang mampu meneroka kawasan-kawasan marin yang baru yang sebelum ini tidak pernah dipetakan.
Selain kepentingan penjelajahan, memahami susun atur dasar laut juga penting bagi tujuan pemuliharaan hidupan laut dan meramalkan bencana seperti tsunami.
Buat masa kini, hanya 26% daripada keseluruhan dasar laut yang berjaya dipetakan dengan resolusi tinggi. Penjelajahan dasar laut sememangnya terlampau mencabar antaranya disebabkan kedalaman laut, yang menyebabkan tekanan yang sangat tinggi dan juga cahaya yang sedikit. Kebiasaannya, pengkaji marin memetakan dasar laut dengan cara menggunakan kenderaan selam kawalan jauh atau menurunkan kamera daripada bot. Kedua-dua cara ini sangat memakan masa dan wang.
Singa laut (Neophoca cinerea) merupakan haiwan yang banyak menghabiskan masa di dasar laut. Haiwan ini mencari makanan di kawasan pelantar benua (continental shelf) iaitu dari kawasan gigi pantai mengunjur ke arah laut yang kedalamannya kurang daripada 200 meter. Disebabkan itulah, Angelikas dan pasukan cuba menggunakan pendekatan penerokaan dasar lautan yang lebih rendah teknologinya dengan menggunakan bantuan singa laut Australia liar.
Daripada 2 koloni singa laut terbesar di Australia, sebanyak 8 ekor singa laut betina diambil untuk percubaan ini. Badan singa laut ini dilekapkan peranti yang dilengkapi dengan penjejak GPS, kamera dan pengesan pergerakan. Peranti itu direka kecilĀ dan tidak membebankan. Berat peranti itu pula kurang 1% daripada berat singa laut itu supaya pergerakan dan tingkah laku haiwan itu tidak terganggu. Peranti itu juga boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan bulu dan kulit haiwan tersebut.
Hasil rakaman dengan jumlah durasi selama 89 jam dengan 6 habitat dasar laut yang berbeza berjaya diambil. Dari kawasan pasir sehingga ke kawasan alga. Dengan menggunakan rakaman itu, pengkaji boleh membuat menilai kepelbagai biologi di kawasan yang terlibat. Mereka juga dapat membandingkan ciri-ciri lokasi yang dituju oleh singa laut secara umumnya.
Paling penting sekali, hasil rakaman itu sebenarnya adalah untuk menguji mesin model pembelajaran yang direka untuk meramal keadaan di dasar laut. Ditambah dengan maklumat lain seperti suhu permukaan laut dan jarak dari pantai, model yang dicipta dikatakan mampu memberi maklumat hampir 98% tepat.
Perkembangan positif ini memungkinkan proses pemetaan kawasan dasar laut di sekitar kawasan kajian menjadi lebih mudah. Angelakis menyimpulkan, data yang dikumpulkan, bertitik tolak daripada hasil rakaman singa laut, membolehkan mereka meramal keadaan kawasan yang masih belum diterokai.
Sumber : nature.com