Seoang ahli ekologi dari Jerman telah mendapati yang semut mampu melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa rakan sejenis apabila diperlukan. Sebelum ini, hanya manusia sahaja yang diketahui mampu melakukan prosedur-prosedur sebegitu.
Penyelidik dari Universiti Wurzburg, Jerman yang mengkaji tentang semut tukang Florida kagum dengan tabiat semut itu yang mampu mengenal pasti luka di anggota badan semut yang lain di sarang mereka. Kemudian, semut itu merawat luka itu dengan menggunakan dua cara, membersihkan luka atau melakukan pembedahan dengan memotong anggota badan yang luka. Bergantung kepada lokasi kecederaan, semut itu diperhatikan menggigit anggota badan rakan semut yang cedera, bagi membantu semut itu terus hidup.
Sekiranya luka itu berada di kawasan femur, semut yang merawat akan mula membersihkan luka menggunakan mulut mereka kemudian memotong kaki yang cedera itu dengan cara menggigitnya berulang-ulang. Masa yang diambil oleh semut untuk menjalankan prosedur ini adalah lebih kurang 40 minit.
Untuk luka di kawasan tibia pula, semut yang merawat hanya membersihkannya.
Para penyelidik juga berpendapat, semut hanya akan memutuskan kaki yang cedera sekiranya kecederaan berlaku di femur. Sekiranya luka itu berada di tibia, ia hanya akan melakukan prosedur pembersihan sahaja.
Di femur semut, kecederaan di femur akan menyebabkan kerosakan kepada otot yang mengepam darah. Ini membuatkan peredaran darah menjadi perlahan dan pergerakan bakteria dalam darah turut perlahan. Maka, semut mempunyai masa yang cukup untuk memotong kaki semut cedera.
Tetapi, tibia semut mempunyai otot yang sedikit berbanding femur. Sekiranya cedera, jangkitan boleh merebak dengan pantas. Tak sempat untuk semut memotong kaki untuk menghentikan penyebaran bakteria. Maka, fokus semut perawat hanyalah membersihkan luka sahaja.
Walaupun kehilangan satu kaki, lebih kurang 90% ke 95% daripada semut yang telah dirawat dapat meneruskan hidup dan mampu menyambung tugas dan peranan mereka di dalam sarang dengan baik.
Selain semut Florida, ada satu spesis semut lagi yang dinamakan sebagai semut Matabele yang mampu merawat semut lain yang cedera. Semut ini akan mengeluarkan satu cecair antimikrob untuk membersihkan kecederaan dan mencegah jangkitan di kawasan luka. Penyelidik kini cuba untuk mengkaji spesis semut lain yang tidak mampu mengeluarkan cecair antimikrob untuk melihat apakah kaedah semut itu untuk merawat semut yang cedera.