Iglu dicipta dan dibina beratus-ratus tahun dahulu oleh kaum Inuit, penduduk asal Arktik, dan struktur senibina kuno ini masih relevan dalam persekitaran yang bersuhu ekstrem sejuk. Perkataan ‘iglu’ itu sendiri bermaksud rumah dalam bahasa Inuktitut. Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana cara membina iglu? Adakah sama macam kita buat istana pasir kat tepi pantai? Mana lah tahu nanti apabila Malaysia turun salji, boleh juga kita main bina-bina iglu.
LANGKAH 1 – POTONG SALJI
Bongkah-bongkah atau ‘bata salji’ berukuran 1 meter panjang, 40 sentimeter lebar dan 8 sentimeter tebal dipotong daripada salji yang sangat padat.
LANGKAH 2 – BINA KEPUNGAN
Tapak dibuat dengan membina alur sekeliling lubang tempat salji dipotong tadi. Sisi alur bahagian didalamkan sedikit berbanding alur bahagian luar. Kemudian, bongkah salji disusun sepanjang alur.
LANGKAH 3 – SUSUN SECARA MELINGKAR
Bata salji terus disusun secara melingkar, menaik ke atas. Susunan itu akan mencondong ke dalam dan celah-celah yang nampak renggang ditampal dengan menggunakan salji.
LANGKAH 4 – BUAT 2 LUBANG
Sekurang-kurangnya satu bata perlu dilubangkan untuk kitaran udara. Satu lubang bawah dinding dikorek sebagai pintu masuk ke dalam iglu.
LANGKAH 5 – TUTUP BUMBUNG
Setelah bata salji disusun hingga ke atas, ruang bulat terhasil dan ruang ini lebih kecil daripada bata salji. Bongkah itu dibentukkan untuk menutup ruang kecil itu. Salji pula digunakan untuk menutup celah-celah yang ada.
LANGKAH 6 – BINAAN SIAP
Setelah dipastikan setiap celahan antara bata salji ditutup, maka iglu pun siap. Udara sejuk yang masuk melalui pintu masuk iglu dan terperangkap sepanjang ruang terowong. Haba panas pula akan dikepung dalam ruang utama iglu.
Sampai sekarang, iglu masih menjadi binaan yang sangat penting untuk komuniti di Arktik. Ia juga kerap dibina oleh pengembara dan saintis yang sedang menjalankan kajian sementara dalam kawasan tersangat sejuk itu. Binaan yang menggunakan bongkah-bongkah salji yang sangat padat bukan sahaja melindungi mereka daripada tiupan angin sejuk, malah ia juga mampu menjadi penebat haba yang baik. Maka udara panas akan terperangkap di dalamnya. Reka bentuk iglu ini juga memberi ilham kepada NASA untuk menghasilkan satu struktur binaan yang berpotensi digunakan dalam penerokaan planet Marikh.
Sumber : Majalah – How It Works (Isu 193)