Sekitar tahun 2000 sehingga 2005, kadar kematian manusia di negara India tiba-tiba meningkat dengan pertambahan sebanyak 100 000 kes kematian setiap tahun. Jika dijumlahkan, lebih setengah juta manusia mati dalam tempoh itu!
Kes kematian ini disebabkan oleh tersebarnya bakteria dan kuman penyebab kepada penyakit anjing gila atau rabies yang merupakan endemik di India. Menurut WHO sebanyak 36% daripada kes penyakit anjing gila seluruh dunia datang daripada negara itu.
Tetapi kenapa pada tahun 2000 sehingga 2005 kes kematian itu tiba-tiba mencanak naik? Sebabnya…burung vulture atau burung hering!
MEREKA BERADA DI MANA SAHAJA
Menurut seorang pemangku profesor di Harris School of Public Policy di Universiti Chicago, Eyal Frank dan pembantunya Anant Sudarshan, pada zaman dahulu, bilangan burung hering di India tersangat banyak dan boleh didapati di mana-mana tempat. Burung ini memainkan peranan yang sangat penting dalam ekosistem; ia ‘menawarkan’ perkhidmatan sanitasi semulajadi percuma dengan memakan bangkai haiwan yang mempunyai bakteria atau kuman berbahaya kepada manusia.
Bayangkan, hanya 45 minit sahaja diperlukan oleh sekumpulan burung hering untuk menukarkan satu bangkai lembu menjadi tulang. Bakteria dan kuman dalam bangkai itu secara semulajadi terhalang daripada tersebar ke populasi manusia.
Tetapi sejak 20 tahun dahulu, burung ini mula mati disebabkan oleh dadah!
DADAH PEROSAK NEGARA
Pada awal 90-an, paten untuk sejenis ubat tahan sakit untuk haiwan bernama diclofenac tamat menjadikan ia sangat murah dan mudah diperolehi oleh penternak-penternak lembu di India. Apabila lembu atau haiwan ternakan yang pernah diberikan ubat ini mati, bangkainya dimakan oleh burung hering. Masalah berlaku apabila diclofenac ini sangat berbahaya kepada burung itu. Dalam dos yang sedikit, ia mampu merosakkan buah pinggang dan akhirnya menamatkan riwayat pemakan bangkai ini.
Bayangkan, dalam tempoh 5 ke 6 tahun sahaja, populasi burung hering yang asalnya mencecah 50 juta ekor menurun sehingga beberapa ribu ekor sahaja yang tinggal!
Eyal Frank dan pembantunya membandingkan kadar kematian manusia di beberapa daerah di India yang asalnya cukup banyak burung hering, dengan kawasan yang tiada burung itu. Kajian dilakukan dengan mengambil kira keadaan sebelum dan selepas penurunan populasi burung di kedua-dua kawasan.
Mereka juga memeriksa jumlah jualan vaksin rabies, populasi anjing liar dan tahap kuman dalam bekalan air. Hasilnya?
Jualan diclofenac tinggi, populasi burung hering turun mendadak, dan kadar kematian manusia meningkat 4% di kawasan burung hering yang pernah banyak. Kawasan bandar dengan populasi ternakan yang besar turut terkesan. Pembuangan bangkai di situ agak berleluasa kerana kepercayaan agama yang melarang memakan daging lembu. Apabila tidak ada lagi burung hering untuk ‘membersihkan’ bangkai binatang, para penternak ini mula membuang bangkai haiwan ternakan mereka ke kawasan tadahan air berdekatan. Pencemaran air pula berlaku. Kuman dan bakteria mula tersebar kepada manusia.
Dengan ketiadaan burung hering, haiwan pemakan bangkai yang lain seperti anjing dan tikus mula mendapat makanan yang banyak dan populasi kedua-dua binatang pembawa penyakit ini mula meningkat ketara. Disebabkan itu, jumlah kes penyakit anjing gila turut meningkat.
MASA UNTUK BERTINDAK …ATAU TIDAK?
Pada tahun 2006, India telah mengharamkan penggunaan diclofenac kepada haiwan. Namun, untuk meningkatkan kembali populasi burung hering ini sangat mencabar kerana ia mengambil masa yang lama.
Secara umumnya, burung hering mencapai kematangan untuk membiak pada umur 3 ke 5 tahun. Burung ini juga bertelur hanya 2 hingga 3 biji sepanjang tahun dan telur menetas setelah 40 hari. Ini menunjukkan yang burung ini adalah sejenis haiwan yang lambat membiak.
Burung-burung hering yang masih berbaki di India pula kebanyakannya diletakkan di kawasan perlindungan. Antaranya di kawasan pemuliharaan harimau di Benggala Barat. Makanan mereka pula adalah bangkai haiwan-haiwan liar. Burung-burung ini dilindung daripada memakan bangkai haiwan ternakan yang tidak diketahui telah tercemar dengan ubat-ubatan atau tidak. Industri perlombongan dan kuari di India pula menyebabkan kerosakan habitat semulajadi beberapa spesis burung hering ini.
Jadi, masalah tetap tidak selesai. Penyakit anjing liar yang mengancam nyawa manusia masih tetap tersebar kerana hilangnya perkhidmatan sanitasi semulajadi percuma yang boleh menyelesaikan masalah bangkai haiwan.
Cuma yang bertambah pelik, India sanggup mengeluarkan duit sebanyak RM14 juta setiap tahun untuk menyelamatkan populasi harimau di India, mungkin untuk tujuan tarikan pelancongan. Tapi untuk meningkatkan populasi burung hering, yang kesan kurangnya burung itu telah merugikan negara sebanyak Rm315 bilion setahun; bak kata Anant Sudarshan, “vultures began dying in the 1990s. India has not done anything three decades on.”