KESAN SIKLON FREDDY DI 2 NEGARA AFRIKA

Pada tahun 2023, siklon tropika Freddy yang asalnya terbentuk di perairan utara Australia bergerak merentasi Lautan India yang seterusnya berhenti di kawasan Tenggara benua Afrika. Siklon itu membantai teruk 2 negara iaitu Mozambik dan Malawi.

BENCANA BERTIMPA-TIMPA DI MALAWI

Dalam tempoh tiga tahun, negara Malawi dilanda Siklon Idai, Ribut Tropika Ana, dan kemudian Siklon Freddy. Lebih 500 000 orang penduduk hilang tempat tinggal. Angka kematian pula lebih daripada 500 orang dan lebih kurang 500 orang lagi masih hilang.

Di daerah yang terkesan seperti Nsanje, Mulanje, Phalombe, Chikwawa, Zomba dan Blantyre, semua infrastruktur awam  seperti sekolah, fasiliti kesihatan dan jalanraya telah musnah. 

Angin ribut yang terlampau laju, mampu menggerakkan rekahan batu sebesar sebuah kereta sehingga merempuh rumah. Ditambah lagi dengan angin dan limpahan banjir. 600 pusat penempatan diwujudkan untuk menampung lebih setengah juta mangsa yang tiada tempat berlindung.

2 KALI MOZAMBIK DIBADAI

Sebelum siklon Freddy menimpa Mozambik, negara itu sedang dilanda banjir teruk. Lebih 30 000 mangsa sedang menunggu bantuan kemanusiaan. Malangnya, pada 24 Februari 2023, siklon Freddy tiba menambah sengsara. Bukan setakat itu sahaja. Ketika mana rakyat negara itu sedang bergelut untuk bangun semula, siklon Freddy datang sekali lagi pada 11 Mac 2023!

Pada kejadian pertama, siklon itu telah menyebabkan 250 000 mangsa hilang tempat tinggal. 165 orang meninggal dunia manakala 10 orang cedera. 30 000 buah rumah musnah disebabkan hujan lebat dan banjir.

Untuk kejadian kedua, kesannya lebih dahsyat. Lebih daripada 230 000 keluarga yang terdiri daripada lebih sejuta orang terjejas secara langsung disebabkan banjir dan angin kencang. Ia juga menyebabkan 620 orang cedera parah dan angka kematian mencecah 288 kes.

Lebih daripada 37 000 buah rumah dinaiki air, 74 590 buah rumah sebahagiannya musnah manakala 104 000 buah rumah telah musnah sepenuhnya. 

Siklon dahsyat ini juga membinasakan sejumlah sumber pendapatan dengan 31 348 projek ternakan ayam lenyap, 1089 haiwan ternakan hilang, 1747 projek perikanan dan 265 kapal terjejas. 86 buah kapal daripada jumlah itu musnah sepenuhnya.

Dari sudut infrastruktur, lebih kurang 1.2 juta orang murid dan 14 000 guru terkesan apabila lebih kurang 1000 buah sekolah rosak akibat siklon. Ia juga memusnahkan 485 rumah ibadat, dan 125 buah fasiliti kesihatan.

Jaringan jalan raya turut mengalami kerosakan akibat siklon. Jalan yang sepanjang 15 800km rosak termasuk memutuskan jalan yang menghubungkan negara Malawi dan Mozambik.

Merujuk kepada data yang dikumpulkan oleh United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs, lebih daripada 1400 mangsa terkorban disebabkan bencana alam ini. Hal ini menjadikan siklon Freddy ini adalah taufan tropika ketiga terburuk yang pernah berlaku di kawasan Hemisfera Selatan dan jumlah kerosakan akibat bencana ini juga dianggarkan berjumlah 500 juta USD.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *