Pasal ketawa pun ada bidang kajiannya yang tersendiri. Ingatkan nama bidang ni macam ‘gelaktologi’ tapi nasib baik bukan. Kena sebut betul-betul. Gelotologi.
Daripada bidang ini lah kita boleh dapat tahu yang, perbuatan ketawa itu terhasil daripada 2 bahagian. Pertama, adalah reaksi fizikal seperti pergerakan badan atau riak wajah. Kedua, penghasilan bunyi. Dia macam pelik kalau beria-ia senyum lebar, tampar-tampar paha atau guling-guling kat lantai tapi tak keluar apa-apa bunyi. Itu bukan ketawa namanya.
Ketawa juga adalah tindakan yang spontan yang kita tak boleh nak kawal atau kita lakukan tanpa kita sedari. 15 otot di wajah kita akan bertindak ‘secara paksaan’ untuk menghasilkan senyuman ketawa.
Sistem respirasi juga akan jadi hiperaktif semasa kita ketawa. Kita bernafas laju apabila kita rasa perkara yang kita dengar atau nampak itu kelakar. Jantung pun akan berdegup lagi laju bila ketawa. Sebab itulah sampai kadang-kadang ada yang ketawa sampai tak cukup nafas. Ada juga yang sampai dapat asthma.
Ramai juga ahli gelotologi yang berpendapat, ketawa mempunyai kesan yang baik kepada kesihatan mental dan fizikal kita. Mereka dapati aktiviti ketawa mampu merehatkan otot selama 45 minit dan mengurangkan kesan hormon stres.
Dan ada kajian juga mendapati ketawa sebanyak 100 kali boleh gantikan aktiviti berkayuh menggunakan basikal gym selama 15 minit.
Tapi untuk Muslim, jangan ketawa berlebihan kerana Nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” Bukan tak boleh ketawa, tapi jangan berlebih-lebihan. Jangan sampai terbahak-bahak.
Buatnya tiba-tiba mati. Sudah…