Sampah angkasa atau serpihan angkasa (space junk) adalah objek-objek yang tak ada manfaat sekupang pun tapi ia ada di ruang angkasa mengorbit Bumi kita. Daripada sekecil-kecil objek seperti serpihan cat kapal angkasa yang terkoyak sampai lah kepada satelit yang tak beroperasi yang sebesar lebih kurang satu bas sekolah.
Di sini disenaraikan beberapa kejadian unik dan entah apa-apa yang telah menambah bilangan sampah angkasa yang kini dianggarkan hampir 100 trilion :
- Pada tahun 1965, ‘spacewalker’ pertama, Ed White telah kehilangan sarung tangan ganti apabila dia keluar daripada kapal angkasa Gemini 4. Sarung tangan itu kemudiannya mengorbit Bumi dengan kelajuan 8 km per saat! Sama dengan Mach 23 tu.
- Pada tahun 2006, angkasawan Piers Sellers, yang sedang melakukan ujikaji pembaik pulihan kapal angkasa, tak sedar spatula yang mereka gunakan untuk kerja itu tertinggal di luar kapal. Saiz spatula itu adalah 14 inci panjang, 2 inci lebar dan riwayat spatula itu berakhir di Lautan Atlantik.
- Pada tahun 2006 juga, angkasawan Sunita William yang sedang terapung di luar ISS, tak sedar tali kamera yang disangkut di badannya terputus. Kamera itu kemudian mungkin menyanyikan lagu “Bye Bye Bye” oleh N’sync sambil terapung jauh meninggalkan Sunita.
- Pada bulan November tahun 2023, 2 orang angkasawan, Jasmin Moghbeli dan Loral O’Hara telah menghilangkan satu beg peralatan baik pulih semasa sedang membaiki ISS. Disebabkan beg itu berwarna terang dan cerah, kita boleh nampak beg itu terapung di angkasa dengan menggunakan binokular dari Bumi. Dan untuk fakta tambahan, isi kandungan beg yang hilang itu bernilai lebih kurang RM470 000.
- Pada tahun 2018, syarikat Rocket Lab di Amerika Syarikat, telah melancarkan satu satelit yang paling tak ada faedah yang dinamakan sebagai ‘Humanity Star’. Satelit itu berbentuk seperti lampu disco ball dan ia kini ada mengorbit ruang angkasa kita. Fungsi satelit? “Harapan saya agar, apabila anda lihat ‘bintang’ ini di angkasa, anda akan merenung jauh tentang luasnya alam semesta dan seterusnya mewujudkan cara fikir yang berbeza tentang kehidupan, tindakan dan apa yang penting untuk manusia!” itu kata pengasas syarikat Rocket Lab bernama Peter Beck.